Resipi Berpantang Simple 5 Langkah. Sedap & Suami Pun Confirm Boleh Masak!

Dalam keadaan tertentu, ada di kalangan ibu bersalin dan suaminya lebih selesa memilih berpantang sendiri di rumah kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.

Jadi, dalam keadaan sebeginilah, suami perlu menjalankan tanggungjawabnya. Memandangkan isteri masih lemah, dia memerlukan sokongan dan bantuan daripada suami untuk beberapa urusan termasuklah hidangan makanan berpantang.

Di sini saya kongsikan resepi-resipi yang boleh para suami sediakan. Langkah penyediaannya mudah sahaja. Pasti selepas ini suami boleh dipanggil papa chef!

Ikan panggang

1. Basuh bersih ikan pilihan. Ikan yang sesuai semasa berpantang ialah ikan berisi seperti merah, tenggiri dan lain-lain.

2. Lumurkan garam, kunyit dan lada hitam pada badan ikan.

3. Balut ikan dengan daun kunyit atau daun pisang.

4. Panggang menggunakan pemanggang ajaib.

5. Setelah masak, buang daun pembalut ikan. Sedia untuk dihidangkan.

Singgang ikan

1. Hiris nipis kunyit hidup, lengkuas, bawang putih.

2. Masukkan bahan yang dihiris bersama asam keping ke dalam periuk yang berisi air.

3. Didihkan dengan api yang perlahan. Biarkan ia mendidih agak lama supaya rasa bahan-bahan sebati bersatu.

4. Setelah itu masukkan ikan pilihan.

5. Perasakan dengan garam. Angkat apabila ikan sudah masak.

Sup ikan

1. Panaskan sedikit minyak zaitun.

2. Tumis hirisan bawang merah, bawang putih dan halia bersama kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang sehingga wangi.

3. Kemudian masukkan air secukupnya.

4. Setelah mendidih, masukkan ikan, lada hitam dan sedikit garam.

5. Taburkan daun sup dan siap dihidang

Ikan bakar berserai

1. Bersihkan ikan. Lumurkan garam dan kunyit pada ikan.

2. Balut dengan daun pisang atau daun kunyit dan bakar menggunakan pemanggang ajaib.

3. Di dalam kuali lain, tumis hirisan bawang merah, bawang putih dan halia serta serai yang diketuk.

4. Masukkan sedikit air asam jawa dan biarkan mendidih seketika.

5. Akhirnya masukkan ikan yang telah dibakar tadi.

Ikan stim

1. Bersihkan ikan. Lumur ikan dengan garam.

2. Hiris nipis bawang besar, bawang putih, halia, serai, daun limau purut.

3. Potong lobak merah dan batang saderi mengikut bentuk kesukaan.

4. Letakkan ikan dan semua bahan hirisan di dalam satu bekas.

5. Kukus sehingga ikan masak.

Ayam bakar

1. Basuh ayam sehingga bersih

2. Kisar bawang besar, bawang putih, dan halia.

3. Kemudian satukan serbuk lada hitam, madu, sedikit garam dan gula ke dalam bahan kisar.

4. Perap ayam dengan bahan yang telah disatukan

5. Bakar menggunakan pemanggang ajaib

Sup daging

1. Potong daging dan bersihkan

2. Tumis hirisan bawang besar, bawang putih dan halia bersama kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga sehingga naik bau.

3. Masukkan air dan daging.

4. Didihkan sehingga daging empuk

5. Masukkan hirisan lobak merah dan daun sup. Sedia untuk dihidangkan.

Kerabu

1. Tumbuk bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas, kunyit, lada hitam dan ikan bilis sehingga lumat

2. Goreng bahan ini tanpa minyak sehingga bahan kering

3. Bersihkan apa-apa jenis ulam yang sesuai dimakan ketika berpantang.

4. Hiris halus kesemuanya.

5. Gaulkan bahan perencah dengan hirisan ulam yang telah disediakan.

Sup lobak putih

1. Rebus lobak putih sehingga empuk dan toskan airnya.

2. Di dalam periuk berasingan, panaskan minyak zaitun. Tumis hirisan bawang putih sehingga layu.

3. Masukkan ikan bilis dan tumis seketika.

4. Masukkan air dan didihkan sebentar.

5. Bila sup mendidih, masukkan lobak putih dan sedikit lada hitam. Perasakan dengan garam.

Sumber: Majalah Pa&Ma