Jenis-Jenis Minyak Wangi Lelaki. Ini Tip Bagaimana Nak Cari Yang Bau Tahan Lama!

Seorang lelaki yang ingin tampil bergaya, kemas dan kacak bukan hanya bergantung kepada cara grooming dan juga pemilihan pakaian.

Tahukah anda antara faktor yang membuatkan wanita tertarik kepada lelaki adalah bau badan yang harum?

Jadi peranan minyak wangi dalam kehidupan harian anda memang sangat penting. Di pasaran sekarang terdapat pelbagai jenis minyak wangi yang ditawarkan khusus buat lelaki.

Tak dinafikan penulis juga kadang-kadang buntu dan keliru untuk memilih minyak wangi manakah yang paling sesuai dengan bau badan, tahan lama dan sedap dihidu.

3 perkara tersebut merupakan faktor paling penting untuk kita titik beratkan sebelum membelinya. Tak guna kalau anda beli minyak wangi yang mahal namun bila dipakai tak sesuai dengan bau badan atau anda sendiri tak tahan akan baunya.

Memang sangat merugikan bila perkara itu berlaku. Sebelum membeli minyak wangi adalah lebih baik anda ikuti beberapa tip yang MASKULIN kongsikan di bawah.

Fahami jenis-jenis bau minyak wangi dan karakternya.

FRESH ATAU MENYEGARKAN

Antara bauan yang sinonim dengan karakter segar ialah Giorgio Armani Acqua di Gio. Sesuai untuk anda yang tak melakukan aktiviti terlalu lasak dan lebih banyak habiskan mada dalam pejabat.

FLORAL

Ya, lelaki juga boleh guna minyak wangi berbau bungaan. Tapi tidak semua jenis bau bunga yang sesuai. Buat lelaki bau bunga lavender mampu memberikan personaliti seksi kepada pemakainya. Dior Homme antara contoh perfume bau seperti ini.

WOODY

Minyak wangi yang paling sinonim dengan karakter maskulin dan kelelakian. Mampu menyerlahkan sifat kejantanan paling maksima kerana ia lebih keras dan mampu memberikan gaya keyakinan kepada pemakainya.

Anda juga tak seharusnya mengehadkan hanya satu jenis minyak wangi dalam koleksi peribadi. Tahukah minyak wangi juga mempunyai asas bau yang sesuai digunakan untuk majlis atau aktiviti tertentu?

PENGGUNAAN HARIAN

Setiap minyak wangi mempunyai keistimewaan tersendiri. Sebagai contoh keberkesanannya di dalam kondisi atau persekitaran tertentu. Jika anda mahu elemen tarikan luar biasa di pejabat pilihlah bau woody. Manakala untuk lebih santai dan bersahaja, bauan fresh paling sesuai buat anda. Dan jika anda ingin tampil seksi pada janji temu pilihlah bauan floral.

MAJLIS RASMI

Setiap majlis pastinya datang dengan tema berbeza. Sebagai seorang lelaki yang mementingkan karakteristik bauan pastinya anda ingin memilih minyak wangi sesuai dengan acara.

Majlis formal – bauan yang mempunyai sifat elegan dan eksklusif seperti Amouage, Creed atau Tom Ford.

Majlis tak formal – sesuai dengan bauan woody atau fresh yang sesuai dengan karakter anda. Antara pilihan sesuai Polos Sport Extreme dan Bleu de Chanel.

Aktiviti luaran – pilihlah minyak wangi yang menyerlahkan bau ketika anda berpeluh.

Diharap sedikit info ini boleh membantu anda untuk mencari minyak wangi yang sesuai buat diri anda. Usah fikirkan bajet kerana di pasaran sekarang terdapat pelbagai peringkat harga minyak wangi yang ditawarkan.

*Sumber: Majalah MASKULIN